Bagi kehidupan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni, perasaan atau emosi suami isteri sememangnya sudah saling sebati. Untuk mencapai tahap kesebatian emosi ini, kedua-duanya perlulah hidup dalam suasana yang diliputi cinta, kasih sayang, saling memahami dan bekerjasama dalam ertikata yang sebenarnya.
Kejernihan hubungan ini tidak harus dirosakkan atau dicemari oleh sesuatu perkara pun, malahan tiada perkara yang harus menimbulkan kegelisahan mana-mana pihak. Aspek pergaulan antara suami isteri, seterusnya antara ibu bapa dan anak-anak, dan antara adik- beradik adalah sama pentingnya dengan asas-asas pembentukan rumah tangga yang harmoni. Oleh itu aspek ini juga perlu diberi perhatian serius oleh setiap pasangan suami isteri dan sesiapa sahaja yang ingin memasuki alam rumah tangga.
Untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga dan kecemerlangannya, maka pergaulan antara para anggota sesebuah keluarga, terutamanya antara suami dan isteri, perlulah diliputi oleh empat kunci utama, iaitu cinta atau kasih sayang; saling memahami; kerjasama dan keikhlasan atau kejujuran.
Sifat saling cinta menyintai antara satu sama lain, atau cinta yang bertimbal balik, merupakan suatu unsur yang suci dalam pergaulan suami isteri. Cinta yang dimaksudkan di sini bukanlah kata-kata manis yang hanya sedap didengar atau diucapkan oleh lidah yang tidak bertulang. Tetapi ia adalah cinta yang sebenarnya iaitu yang mempunyai makna yang lebih mendalam dan lebih luhur yang tertanam di lubuk hati dan sanubari.
Ia bukanlah yang hanya diungkapkan oleh kata-kata, tetapi digambarkan dengan layanan serta pergaulan yang baik lagi mesra. Tanpa cinta yang tulen dan sejati dalam pergaulan suami isteri, maka unsur-unsur lain tidak akan tumbuh subur; tiada persefahaman; tiada kerjasama dan tiada keikhlasan. Malah tanpa cinta, perasaan keseronokan, keceriaan dan kebahagiaan sama sekali tidak akan muncul. Ringkasnya cinta boleh dianggap sebagai ukuran atau kriteria kebahagiaan sesebuah rumah tangga.
Selain daripada itu, dalam usaha mewujudkan persefahaman dalam rumah tangga, pasangan suami isteri tidak perlu bersusah payah seperti mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dan sebagainya. Cuma di sini mereka seharusnya menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT sahaja (bukan ikut perasaan), di samping bersopan dalam tutur kata dan tindak tanduk.
Mungkin ada masalah-masalah tertentu yang terpaksa dihadapi oleh sesebuah keluarga, atau berlaku perkara-perkara yang tidak diduga. Tetapi kalau ada persefahaman antara anggota-anggota keluarga khususnya antara suami dan isteri, insya-Allah segala masalah akan dapat diatasi dengan baik. Demikian juga, sikap saling memahami antara satu sama lain ini dapat mengelak rasa curiga dan prasangka dengan sebab-sebab yang selalunya tidak jelas atau tidak ada usul asalnya.
Sesebuah rumah tangga tidak boleh ditegakkan dengan jayanya jika para anggotanya tidak menunaikan tugas atau tanggungjawab masing-masing. Bagaimanapun mereka mestilah bekerjasama untuk memastikan tugas dan tanggungjawab ini terlaksana dengan sempurna.
Suami isteri mestilah saling bantu-membantu untuk membahagiakan keluarga. Seorang suami yang baik tidak akan membiarkan isterinya bertungkus lumus bekerja di dalam rumah, kadangkala dibebani lagi dengan kerja-kerja di luar rumah, sedangkan dia tidak membuat sebarang kerja pun.
Begitu juga si isteri yang memiliki harta yang banyak tetapi sedikitpun tidak mahu menyumbang untuk kebahagiaan keluarga. Suami dan isteri yang demikian adalah besifat ‘keakuan’ yang tidak sesuai dengan kehidupan sebuah rumah tangga yang ingin mencapai kecemerlangan dan kebahagiaan. Sikap seperti ini juga merosakkan kemesraan pergaulan suami isteri dan anggota-anggota yang lain dalam keluarga.
Dalam usaha membina sebuah keluarga yang bahagia juga, suami isteri semestinya memiliki sifat ikhlas dan jujur. Sifat ini boleh dianggap sebagai teras bagi unsur-unsur yang lain kerana tanpa keikhlasan dan kejujuran maka unsur-unsur lain tidak akan berkesan atau tidak ada maknanya lagi.
Pergaulan suami isteri tanpa ditunjangi oleh sifat ini boleh mendedahkan keluarga kepada akibat yang buruk. Rumah tangga akan kerap dilanda pergolakan dan perselisihan faham. Suasana ketenteraman dan ketenangan hidup akan terhakis; sedangkan ketenteraman dan ketenangan adalah salah satu matlamat yang terpenting bagi kehidupan berkeluarga kerana perasaan inilah yang membawa kepada keceriaan dan kebahagiaan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih-sayang. Sesungguhnya pada yang sedemikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Jika empat perkara yang disebut dan dibincangkan di atas itu dapat direalisasikan dalam pergaulan suami isteri dan anggota-anggota lain dalam sesebuah keluarga, maka insya-Allah akan memperteguhkan lagi ikatan dan hubungan kekeluargaan. Seterusnya kehidupan berkeluarga itu akan menjadi lebih mantap, ceria dan bahagia.
AMIN YA RABBAL'ALAMIN....